Pengancam Perkahwinan Astro Maya HD (2013)


Apa kisah perkahwinan mereka ni? Jangan lupa tonton Pengancam Perkahwinan pada 26 September 2013 (Khamis) jam 9.30 malam di Astro Ria dan Astro Maya HD



Mereka berkawan rapat sejak sama-sama mengendalikan program Chopp! di TV9 kira-kira tiga tahun lalu. Sehingga kini, kemesraan tetap terjalin di antara mereka biarpun program ini sudah lama dihentikan.

Ketika terbabit dengan program inilah pelakon Tam Suhaimi, Farish Aziz, Sari Yanti dan Intan Ladyana menyimpan impian untuk bekerjasama menubuhkan syarikat produksi dan menerbitkan drama.

Akhirnya impian yang sudah lama disimpan ini termakbul dengan tertubuhnya syarikat Mediaglo Production Sdn Bhd milik Sari Yanti. Mereka berempat bergabung menerbitkan drama sulung syarikat itu iaitu Pengancam Perkahwinan.

Mereka sepakat mengeluarkan modal dan terhasillah Pengancam Perkahwinan yang diarahkan Tam dan Syahir Ismail dengan Intan memegang watak utama. Selain itu, Farish dan Sari Yanti turut menjadi ‘cameo’ dalam telefilem yang bakal ditayangkan di saluran Astro Ria pada September ini.

Turut berlakon ialah Nadiya Nisaa, Kilafairy, Hafizul Kamal, Nazrief Nazri dan Nora Danish.

Sari Yanti mengakui sayang untuk memutuskan hubungan dengan rakannya ini. Setiap kali menganjurkan acara bersama suaminya, dia pasti tidak melepaskan peluang menjemput tiga rakan ini, malah bila ada kelapangan mereka akan duduk sama-sama berbincang mengenai pelbagai perkara berkaitan karier.

“Menerusi perbincangan, kami akhirnya bertekad untuk buat juga. Salah seorang daripada kami membentangkan kertas cadangan ketika ‘pitching’ di Astro dan mereka sudi memberikan peluang. Alhamdulillah ini berita yang sangat menggembirakan kami. Kami juga sengaja bagi peluang kepada Syahir untuk menjadi pengarah bergandingan dengan Tam.

“Sepanjang penggambaran, kami lihat segala-galanya berjalan lancar tanpa masalah besar. Apa yang penting saya bangga kerana menerusi projek ini, hubungan persahabatan kami menjadi lebih erat. Tambah pula, biarpun menggunakan syarikat saya, modal yang dikeluarkan sama rata,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran di rumah milik keluarga Aizat Amdan, baru-baru ini.

Menurutnya, menerusi persetujuan bersama, mereka dipecahkan kepada bidang tugas masing-masing. Hanya Tam memainkan peranan yang lebih disebabkan pengalaman luasnya dalam industri seni. Selain bertindak sebagai pengarah bersama, dia juga adalah penulis skrip telefilem ini.

“Dia lebih faham selok belok industri jadi wajarlah dia ambil bahagian ini. Saya dan Farish tak berlakon sepenuhnya dan hanya muncul sebagai cameo kerana kami banyak memainkan peranan di belakang tabir dalam pengurusan. Intan pula bertindak sebagai pelakon. Jadi, masing-masing sudah ada tanggungjawab sendiri yang perlu dipikul.

“Kami usulkan beberapa skrip kepada Astro dan nampaknya mereka suka dengan telefilem ini. Ia berlatar masyarakat sekarang yang bergenre serius. Tapi ceritanya tak terlalu berat dan boleh ditonton semua golongan. Konflik yang ditampilkan pasti menambat hati untuk penonton menyaksikannya hingga akhir,” katanya.

Sari Yanti, ibu kepada dua anak, Barr Al-Aliy, 3, dan Basit Al-Haq, 2, kini mengurangkan aktiviti lakonan kerana menumpukan perhatian kepada rumah tangga. Bagaimanapun, sesekali dia tetap menerima tawaran berlakon dan terbaru lakonannya dapat disaksikan menerusi drama Geng Kampung Pisang yang disiarkan menerusi TV3.

Bagi Farish pula, Pengancam Perkahwinan adalah projek pertamanya dengan Sari Yanti dan Intan Ladyana. Sebelumnya dia pernah menjalinkan kerjasama dengan Tam menerusi syarikat mereka, Chantique Pictures menerbitkan drama Cheritera yang pernah disiarkan menerusi TV3 pada 2010.

“Inilah kali pertama kami berempat bergabung. Matlamat utamanya memanglah nak cari untung, namun kami juga nak eratkan lagi hubungan yang sudah lama terjalin. Senang apabila timbul masalah kerana kami boleh terus bercakap tanpa simpan dalam hati. Tambahan pula kami berada dalam bidang yang sama.

Kata Farish, mereka lega kerana Astro memberi perhatian terhadap kertas cadangan mereka. Daripada tujuh skrip yang dihantar, Astro menunjukkan minat terhadap lima darinya. Segala idea untuk skrip datang daripada Tam.

“Tam memang banyak bagi cadangan untuk projek ini. Bagaimanapun bagusnya dia sedia mendengar cadangan dan komen daripada rakan bagi mencantikkan lagi drama kami. Insya-Allah telefilem ini adalah permulaan daripada kami dalam industri,” katanya.

Sementara itu Tam berkata, dia mula menulis skrip telefilem ini pada pertengahan tahun lalu. Apabila Astro menunjukkan minat, dia segera menghubungi rakan lain dan gembira apabila mereka bersetuju untuk bergabung tenaga menerbitkannya.

“Saya buat skrip ini berdasarkan kisah orang perempuan yang walaupun rapat sesama sendiri, tapi tetap mempunyai sikap irihati. Walaupun bendanya kecil, tapi dianggap serius sehingga menjadi besar. Cerita ini hanya rekaan semata-mata, tapi penuh dengan mesej.

“Pelakon yang dipilih berlakon pula dipilih secara bersama oleh kami. Kebanyakan mereka adalah kawan kami juga. Inilah untungnya kawan kerana mudah untuk bekerjasama. Apapun rata-rata pelakon yang berlakon adalah pelakon berpengalaman,” katanya.

Bersandarkan pada hubungan ini, Tam mudah untuk menegur lakonan setiap orang tanpa ada yang terasa hati. Dia juga gembira walaupun penggambaran berjalan pada bulan puasa, setiap pihak memberikan kerjasama yang baik untuk projek mereka ini.

Pengancam Perkahwinan mengisahkan mengenai dua sahabat baik sejak di bangku sekolah. Bagaimanapun, kerana sikap ego dan cemburu masing-masing yang tinggi mereka bertukar menjadi seteru.

Pengancam Perkahwinan - 26/9/2013
Thanks guys :
 
Support Malaysia Free TV : RTM TV1, TV2 | Media Prima TV3, TV9, NTV7, 8TV, Tonton | TV AlHijrah
2010-2014 #KepalaBergetar